Assalamualaikum. Beberapa hari ini saya kerap teringatkan Mak yang telah lama pergi menghadap Illahi.
.
Mak amat saya rindui. Dia wanita berhati mulia yang berkorban segalanya untuk melihat saya berjaya dalam pelajaran. Bulan Ramadhan juga sentiasa istimewa bersama Mak kerana Mak akan berkongsi kemahiran membuat kuih tat nenasnya yang sedap. Tiada siapa dapat menandingi tat nenas Mak. Kuih tat nenas Mak menjadi buah mulut saudara mara dan kenalan rapat. Sayang sekali kami adik beradik tidak mewarisi kemahiran membuat tat nenas seperti Mak, walau berkali-kali belajar dari Mak atau mengikuti resepinya satu persatu.
Mak juga bersusah payah menyalin setiap resepi yang di pelajarinya untuk saya dan kakak. Hampir setahun beliau menyiapkan salinan buku resepi untuk kakak dan saya. Masing-masing dapat seorang satu `buku resepi' salinan tangan Mak. Buku ini masih saya simpan dan akan jadi sumber rujukan bila `mood rajin memasak' datang ...
Al Fatihah buat Mak yang saya sayangi dan rindui...
Nota: Tart kakak saya - Zainab, tak jemu mencuba buat tart seperti mak. I think this year jadi macam tart Mak.
RESEPI TAT NENAS MAK
Jem Nenas:
- 4 cawan nenas yang telah diparut halus dan ditapis airnya (boleh di kisar halus dengan blender atau food processor)
- 2 cawan gula pasir
- 1 sudu teh esen ros
- 1/2 sudu teh esen vanilla
- 2 helai daun pandan
Cara-caranya:
- Semua bahan di masak dalam periuk atau kuali dengan api perlahan. Sentiasa kacau jem nenas supaya tidak hangus.
- Bila sudah pekat dan boleh digentel bulat, angkat dan sejukkan jem nenas ini.
- Bulat-bulatkan jem nenas mengikut saiz acuan tat nenas.
Tip: Masak jem nenas dalam rice cooker adalah lebih cepat tapi masih perlu di kacau selalu jem ini supaya tidak melekat pada periuk rice cooker.
Kulit tat:
- 250 gm mentega atau marjerin (Mak gunakan Planta)
- 2 butir telur ayam (ambil 2 kuning dan 1 putih sahaja)
- tepung gandum secukupnya
Cara-caranya:
- Kacau rata mentega atau marjerin sebentar dengan senduk.
- Pukul telur sebentar supaya rata telur kuning dan putih tadi.
- Campur telur dan marjerin sehingga rata.
- Masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga rata dan adunan lembut tetapi tidak melekit.
- Terap adunan dengan acuan tat dan isi jem nenas diatasnya.
- Sepit keliling tat dengan penyepit tat (boleh dibeli di kedai bahan bakeri)
- Hias tat dengan sedikit lebihan adunan kulit tat tadi.
- Bakar pada suhu 170 darjah celcius hingga kekuningan.

Salam kasih sayang dari kak Nana ...



No comments:
Post a Comment