Sayu hati kerana ini adalah kali pertama tidak dapat berpuasa dengan kesemua anak-anak... Amir di Manchester, UK dan Aisha di Glasgow. Atas tuntutan pelajaran, Ibu akur untuk melepaskan anak-anak jauh di perantauan. Aiman pula di MRSM Serting, Negeri Sembilan. I miss you all.
Hari ini Ibu cuma dapat berkongsi cerita tentang masakan berbuka kita sekeluarga iaitu Baked Chicken, Lamb BBQ, Spaghetti Olio, Baked Potatoes dan Coleslaw. Menu hari ini adalah permintaan Ayah ya...
Menu hari ini ...
Lamb BBQ terlebih masak sikit sebab baru belajar menggunakan periuk ajaib Korea. Kini periuk ini sangat popular di Malaysia kerana ia sememangnya memudahkan memasak, menggoreng, baking dan roasting. Harganya pun tak mahal sangat, lebih kurang RM150 dijual di Chow Kit. Masih baru mencuba dan Ibu belum pandai lagi memakai periuk ini. Ayam pula Ibu panggang dalam oven aje kerana kuantiti yang banyak.
Baked Chicken Ibu
1 ekor ayam - potong lapan
3 sudu besar rempah ketumbar
1/2 cawan sos tomato
2 sudu serbuk lada hitam (jika suka kurang pedas, boleh diganti dengan lada sulah/putih)
2 sudu besar madu
2 sudu besar minyak sapi atau butter
garam secukupmya
Bahan di kisar halus:
1 bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci halia
Cara-cara:
- Perap ayam dengan bahan kisar dan rempah, sos tomato bersama madu dan garam.
- Biarkan dalam 1 jam di simpan di peti sejuk.
- Lumur minyak sapi atau butter keseluruh bahagian ayam. (Saya gunakan Ghee Blend sahaja)
- Panaskan oven selama 20 minit pada suhu 200 darjah celcius (mengikut saiz oven).
- Bakar ayam sehingga kekuningan di bahagian atasnya.
Sos untuk ayam:
- Air yang keluar dari ayam yang di bakar tadi iaitu air ayam dalam tray pembakar di gunakan untuk buat sos ayam.
- Panaskan 2 sudu besar butter. Campur 2 sudu besar tepung. Kacau hingga kuning dan wangi.
- Campur air ayam tadi dan rempah yang tertinggal di tray pembakar. Kacau rata.
- Masukkan air susu UHT 1 cawan dan sedikit garam dan lada sulah/lada hitam (ikut cita rasa).
- Biar mereneh diatas api perlahan dan dikacau hingga sos pekat sebelum diangkat untuk dihidang.
Ibu harap anak-anak ibu dapat manfaat dari coretan blog ini, Insya Allah.
Okay, jom kita pergi solat tarawikh dulu. Wassalam.









